Selasa, 26 Januari 2010

Ahad, 24 Januari 2010

4.Sistem Muzik Gamelan

Sistem Muzik Gamelan Melayu


Sistem muzik yang digunakan dalam permainan muzik gamelan Melayu ialah dengan menggunakan skala 5 pic yang dipanggil skel pentatonik.Sistem tiunan gamelan Melayu ini menggunakan sistem tiunan slendro ( sistem 5 pic ) yang terdapat dalam gamelan Jawa.Muzik gamelan Melayu mempunyai jarak ton di antara 150-330 cents.Berdasarkan gamelan Pekan sebagai piawai,jarak di antara ton 1 dengan 2,2 dengan 3 dalam lingkungan 170 cents,diantara ton 3 dengan 5,336 cents.Oleh sebab itu,sistem notasi yang digunakan bagi muzik gamelan Melayu adalah sama dengan sistem nombor yang digunakan dalam muzik gamelan Jawa.


Dalam sistem notasi ini,susunan pic yang paling rendah kepada pic yang paling tinggi bernombor 1,2,3,5 dan 6.Pic 4 tidak ada jika dibandingkan skel barat.Ada juga beberapa tanda lain yang biasanya digunakan dalam sistem notasi ini,misalnya,tanda N merujuk pada satu pukulan di atas busut kenong,tanda C menandakan satu pukulan di atas gong suwukan dan tanda O merujuk pada satu pukulan di atas gong agung.


Dalam skel muzik gamelan Melayu,jeda-jeda di antara pic 1 ke 2,2 ke 3 dan 5 ke 6 merupakan jeda kedua major yang menghampiri jeda kedua major skel barat,akan tetapi,jeda yang mengkhaskan skel pentatonik muzik gamelan Melayu ialah jeda ketiga neutral yang wujud di antara pic 3 ke 5 dalam skel tersebut.Jeda ketiga neutral ini merupakan jeda yang wujud di antara jeda ketiga minor dan jeda ketiga major.Jeda ketiga neutral khas ini terdapat juga dalam muzik rakyat diseluruh dunia dan juga dalam muzik blues serta jazz di Amerika Syarikat.


Pada umumnya,melodi bergerak secara bertingkat-tingkat (conjuct melodic motion).Untuk mengembangkan melodi,frasa melodi dalam lagu yang tertentu kadangkala diulangi beberapa kali dengan pelbagai variasi,ataupun kadangkala frasa melodi tertentu juga terus diulangi pada peringkat pic yang berlainan dari pic asalnya.Kedua-dua teknik mengembangkan baris melodi terdapat dalam hampir semua lagu gamelan Melayu.Satu contoh yang jelas ialah lagu " Timang Burung ".Pusat pic bagi lagu "Timang Burung" ialah pic 5.Elemen melodi diutamakan dalam lagu-lagu muzik gamelan Melayu.dalam sebuah lagu,melodi pokok dimainkan oleh pemain saron barung,melodi pokok ini dimainkan tanpa bunga,iaitu tanpa perhiasan melodi.Pemain saron barung memainkan melodi pokok dengan nilai not krocet,iaitu satu not pada satu bit jatuh.

Pemain-pemain saron peking,kerumong dan gambang membungakan melodi pokok itu.Pemain peking memainkan melodi pada satu oktaf tinggi daripada melodi pokok saron barung.Setiap not yang dimainkan oleh saron peking itu berganda dua dengan nilai not kuaver.Gambang pula menghasilkan baris melodi dengan memainkan oktaf rendah dan tinggi.Setiap not dalam melodi gambang juga berganda dua dengan nilai not kuaver.Kerumong menghasilkan baris melodi yang paling berbunga pada oktaf rendah dan tinggi,dengan not-not pada nilai krocet serta kuaver.Walaupun melodi berbunga yang dihasilkan oleh gambang,peking dan kerumong menarik,ia adalah sebenarnya berasaskan pada melodi pokok yang dihasilkan oleh saron barung.

Dalam lagu "Timang Burung",pemain gendang akan memainkan rentak tertentu yang terdiri daripada 8 bit dengan timbre-timbre tertentu.Ia biasanya dinotasikan menggunakan abjad.Dalam notasi ini huruf " t " menandakan timbre yang dipanggil "tak" dengan bunyi yang tajam dan tinggi,huruf "d " menandakan timbre "dung" yang sederhana dan huruf "b" pula menandakan timbre "bung" yang paling rendah.Biasanya rentak 8 bit ini akan diulangi serentak dengan setiap frasa melodi.Rentak inilah yang akan menambahkan aspek dinamik pada baris melodi dalam lagu tersebut.

Dalam repertoir gamelan Melayu,pelbagai form/bentuk muzikal berasakan prinsip-prinsip gongan iaitu prinsip yang sama bagi muzik gamelan Jawa,Wayang Kulit dan Mak Yong.Muzik gamelan melibatkan peraturan dan susunan masa serta peraturan bunyi muzikal.Bentuk/form sebuah lagu gamelan berasaskan unit masa yang diatur secara pusingan (putaran)(cycle) yang diulangi.Satu pusingan unit masa dalam muzik gamelan ini terdiri daripada beberapa bit tertentu dan pic gong yang paling rendah sentiasa dimainkan pada bit akhir pusingan itu.Disebabkan pusingan masa muzik gamelan ini ditandakan oleh bunyi gong,maka satu pusingan ini dipanggil "gongan"(gong unit).

Dalam muzik gamelan,sistem gongan terdiri daripada 4 bit,8 bit,16 bit,32 bit,64 bit dan seterusnya.Gongan yang paling kecil dalam muzik gamelan Melayu terdiri daripada 4 bit yang ditandakan oleh alat kenong dan gong suwukan.Kedua-dua alat gongan ini menghasilkan pic pada bit 4 iaitu pada bit akhir setiap gongan.Contoh lagu "Perang" mengikut bit dan susunan gongan 4 bit dan lagu "Timang Burung" pula berasaskan sistem gongan 64 bit.Kesemua bentuk/form dalam sistem muzik gamelan Melayu adalah berasaskan konsep gongan yang ditandakan oleh gong-gong tertentu seperti gong agung,gong suwukan dan kenong.

Rabu, 20 Januari 2010

3.Definisi Muzik

Pengenalan

Pada umumnya,muzik adalah diakui sebagai satu seni dan juga sains yang menggabungkan bunyi-bunyi vokal atau instrumental termasuk bunyi-bunyi semulajadi atau rekaan dengan satu cara yang dianggap memuaskan mengikut estetika,corak pemikiran dan emosi manusia yang juga boleh memcerminkan ketinggian dan ketamadunan sesuatu budaya bangsa.Seni muzik merupakan satu dari seni hasil luahan manusia yang menggambarkan identiti dan dan kemajuan sesuatu bangsa.Bangsa Malaysia turut mempunyai seni muzik mereka yang tersendiri dan unik berdasarkan keadaan negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa,etnik,kaum,agama dan kepercayaan.


Pengertian Muzik / Definisi Muzik

Muzik adalah antara salah satu media ungkapan kesenian,muzik itu sendiri mencerminkan kehebatan,ketinggian budaya sesuatu masyarakat pendukungnya dimana didalam muzik itu norma-norma dan nilai yang menjadi bahagian dari proses enkulturasi budaya baik dalam bentuk formal ataupun informal.Dalam dunia Arab,muzik ditakrifkan sebagai " handasah alsawt " yang bermaksud " kejuruteraan bunyi secara artistik ".Satu lagi definisi muzik yang terlalu mudah ialah " seni bunyi yang tersusun ". Sebenarnya " muzik " ialah perkataan yang telah diwariskan kepada kita daripada cerita-cerita dongeng dari zaman purba Yunani.Mengikut cerita dongeng itu,nama " MUSES " adalah merupakan gelaran yang diberikan kepada sembilan-sembilan anak perempuan " Zeus ",iaitu raja dewa-dewi Yunani.Dalam kamus Besar Bahasa Indonesia (1990:602),muzik adalah seni atau ilmu menyusun nada atau suara diutarakan,kombinasi dan hubungan temporal untuk menghasilkan komposisi (suara) yang mempunyai keseimbangan dan kesatuan,nada atau suara yang disusun sedemikian rupa sehingga mengandungi irama,lagu dan keharmonian (terutama yang dapat menghasilkan bunyian itu).

Seni muzik adalah cetusan ekspresi perasaan atau fikiran yang hasil dan dikeluarkan secara teratur dan tersusun dalam bentuk bunyi.Perlu diingatkan bahawa bunyi (suara) adalah unsur atau elemen muzik yang paling asas.Bunyi (suara) yang baik adalah hasil gabungan atau interaksi tiga elemen utama iaitu irama,melodi dan harmoni.Irama adalah susunan atau pengaturan suara dalam jangka suatu masa waktu,panjang,pendek dan temponya,dan akan menghasilkan dan memberikan karektor tersendiri pada setiap muzik.Gabungan dan kombinasi beberapa tinggi nada dan irama akan menghasilkan melodi tertentu.Apabila wujudnya gabungan dan kombinasi yang baik antara irama dan melodi,ini akan menghasilkan bunyi yang harmoni dan menarik.

Plato,seorang ahli falsafah Yunani yang terkenal pula berpendapat bahawa sahsiah seseorang individu itu amat dipengaruhi oleh seni halus seperti muzik,sastera,lukisan dan juga ukiran.Dengan itu beliau berpendapat bahawa akhlak seseorang individu itu boleh diperbaiki jika individu itu didedahkan dengan muzik dan seni-seni yang lain.Oleh kerana bunyi-bunyian tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seharian,maka kita patut bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dapat menikmati bunyi-bunyian dengan tenang dan tidak melanggar hukum-hakam yang telah ditetapkan.AMIN.

Ahad, 17 Januari 2010

2.Kursus Kemahiran Asas Gamelan Melayu

Kursus Kemahiran Asas Gamelan Melayu oleh Mentor Kelab Gamelan ( UIAM ) pada 23 Julai 2009



















































Khamis, 14 Januari 2010

1.Program Rakan Muda Sekolah.Rakan Muda Seni Budaya

Pelancaran Rakan Muda & Persembahan Tarian Gamelan/Gamelan SMK Dato' Ahmad Maher pada 9 Ogos 2009