Selasa, 13 Oktober 2009

SEJARAH GAMELAN MAHER GEMERSIKA

Perkataan 'GAMELAN' berasal daripada perkataan Bali iaitu "Gambel" dan dalam bahasa Jawa pula berasal dari pada kata akar " Gamel " yang membawa maksud " tabuh " atau " pukul ".Ia dikatakan berasal dari kerajaan Kediri di Jawa Timur.Seni gamelan mula diperkenalkan di Tanah Melayu melalui kerajaan kesultanan Pahang pada abad ke-19 dan hanya dipersembahkan dalam istana sehinggalah pada tahun 1963,muzik yang penuh dengan spiritual ini diperkenal dan diperkembangkan kepada masyarakat dan golongan biasa.

Seni gamelan adalah antara salah satu aspek "Kebitaraan" atau "Nich-Area" yang dipilih dan terpilih dalam projek Sekolah Kluster bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher Kota Bharu Kelantan.Pasukan gamelan ini telah ditubuhkan dan wujud pada tahun 1999 lagi.Dikenali dengan nama GAMELAN MAHER GEMERSIKA adalah antara pasukan gamelan yang terawal yang wujud dinegeri KELANTAN dan yang pertama di daerah Kota Bharu.Pasukan gamelan ini mempunyai sebanyak 3 set peralatan gamelan yang bermutu dan berkualiti tinggi jenis " Perunggu ".

Pasukan GAMELAN MAHER GEMERSIKA ini amat dikenali ramai khususnya didaerah Kota Bharu dan juga negeri Kelantan kerana seringkali dijemput untuk membuat persembahan untuk majlis-majlis rasmi kerajaan,sektor swasta dan juga majlis-majlis perkahwinan.Pada masa kini,4 pasukan GAMELAN MAHER GEMERSIKA telahpun wujud dengan keahlian seramai 40 orang dan bersedia pada bila-bila untuk membuat persembahan jika ada jemputan daripada mana-mana pihak.

Dibawah pimpinan EN.DASUKI B HJ.AHMAD selaku sebagai penyelaras dan juga jurulatih pasukan gamelan ini,pelbagai usaha telah dijalan dan diadakan supaya pasukan gamelan akan terus berkembang dan gah dalam membuat persembahan dan juga akan dikenali ramai sebagai sebuah pasukan gamelan yang berkaliber dalam memperjuangkan seni tradisional yang penuh spiritual ini.Semoga seni tradisional ini akan terus subur dan berkembang didalam masyarakat seiring dengan perkembangan muzik moden dari negara-negara barat yang semakin hebat menyerang golongan muda hinggakan muzik-muzik tradisional semakin dilupakan.


PERALATAN GAMELAN MAHER GEMERSIKA

Kerumong

Mengandungi 10 buah gong kecil yang disusun dua baris dan diletak secara mendatar di atas rak atau pemidang kayu.Semua gong kecil yang berbusut ini diklasifikasikan sebagai alat ‘idiofon’ dalam kelas kecil gong-chime dan diperbuat dari campuran tembaga.Mengandungi 2 oktaf yang berlaras ‘anhemitonic pentatonik’.Sifat bunyi berprinsip kepada dengung secara dikotomi ‘bonang’ yang beroktaf rendah dikenali sebagai ‘wedok’(perempuan) dan beroktaf tinggi sebagai ‘lanang’ (lelaki).Kerumong/Bonang merupakan alat terpenting/utama dalam essemble gamelan yang memainkan melodi pokok ataupun satu melodi pendek yang juga berfungsi sebagai intro lagu khususnya untuk gendhing bonang.(penghias lagu).
Kerumong/Bonang dimainkan dengan menggunakan 2 pengetuk kayu(penabuh) yang hujungnya dibaluti dengan tali atau kain.Kerumong/Bonang membunyikan bunga-bunga melodi dan dimainkan secara oktaf,ketukan bergilir not pertama diketuk sebelum rentak dan not kedua selepas rentak.


Gambang

Gambang adalah sejenis alat muzik ‘metallaphone’ yang diperbuat daripada kayu keras seperti cengal,kayu nangka dan medang.Alat ini mengandungi 3 oktaf setengah dan mempunyai 20 keping kayu yang berbeza panjang,tebal dan register bunyi yang rendah,sederhana dan tinggi.Kepingan kayu ini terletak di atas kotak kayu panjang yang diasingkan setiap bilahnya dengan sebatang paku.Alat ini biasanya dimainkan oleh seorang pemain sahaja.Diketuk dengan menggunakan 2 pengetuk (mallet) yang diperbuat daripada tanduk kerbau (pemegang) dan bahagian pemukulnya berbentuk bulat pipih dengan tepinya disalut dengan lilitan kain.
Cara permainannya ialah dengan mengetuk menggunakan kedua-dua belah tangan secara serentak not-not lagu dalam oktaf rendah dan oktaf tinggi.Bunyi yang dihasilkan oleh alat ini berbeza daripada alatan lain kerana bunyinya adalah paling rendah berbanding alatan lain yang diperbuat daripada logam.

Saron Demung

Terdiri dari keluarga ‘idiofon’ dalam kelas kecil ‘metallofon’ kerana semua bilah atau wilahan(key) diperbuat daripada campuran tembaga.Bilah-bilah disusun diatas tapak kayu dan disokong oleh bahan pengalas sebagai memenuhi prinsip ekustiknya.Pada tapak berkenaan satu ruang udara telah dibuat bagi mengimbangi bunyinya dan sekaligus bertindak sebagai ruang gema bagi alat saron ini.
Berperanan sebagai alat yang memainkan melodi pokok dan melodi cincang sebagai bunga-bunga lagu dalam persembahan dan mempunyai oktaf yang terendah dalam keluarga saron.Ianya dilaraskan mengikut sistem skala ‘anhemitonic pentatonic’.Untuk menghasilkan bunyi yang baik,kayu pemukul khas (penabuh) digunakan yang lazimnya daripada jenis kayu yang lembut.Pemukul khas ini seakan-akan alat penukul.

Kenong

Kenong diklasifikasikan sebagai ‘idiofon’.Menyerupai gong tetapi lebih nipis dan bulat berbanding gong yang berbentuk pipih dan lebih tebal.Terdapat 5 biji bonang dalam gamelan Melayu dan biasanya diperbuat dari campuran tembaga.Alat ini diletakkan di atas tali yang diikat pada kayu yang diperbuat daripada kayu keras untuk menghasilkan nada merdu apabila diketuk dengan menggunakan alat pengetuk seperti alat pengetuk bonang.
Alat pengetuk (penabuh) Kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas kayu tersebut.Kenong biasanya dimainkan akhir setiap bar dalam sesebuag lagu.Busut Kenong yang mengarah ke atas dan dipukul dengan pengetuk kayu yang berbalut untuk menghasilkan pic-pic yang tertentu.Bunyi yang dihasilkan oleh Kenong adalah lebih lembut jika dibandingkan dengan bunyi yang dihasilkan oleh gong.

Saron Barung

Diklasifikasikan sebagai alat ‘idiofon’ berbentuk bilahan ataupun ‘slap-type’ yang diperbuat daripada campuran tembaga.Bilah-bilah disusun di atas tapak kayu dan disokong oleh bahan pengalas sebagai memenuhi prinsip ekustik.Alat ini mempunyai oktaf tengah yang juga berperanan membawa melodi pokok dan cincang.Pada fizikalnya,bilah-bilah bagi alat saron barung berukuran lebih kecil daripada saron demong dan mampu menghasilkan bunyi yang lebih nyaring daripada saron demong.
Dari segi penggunaan alat,teknik ‘perdam’ digunakan pada nada-nada tertentu mengikut mengikut konteks lagunya,ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bunyi setelah ianya dimainkan secara serentak.Terdapat 6 atau 7 bilah campuran tembaga pada satu-satu alat saron barung.Alat pemukulnya (penabuh) berbentuk seperti penukul (hammer) yang diperbuat daripada jenis kayu lembut.

Gong
Gong diklasifikasikan sebagai alat ‘idiofon’.Berperanan sebagai tulang belakang dalam essemble persembahan muzik gamelan.Terdiri daripada pelbagai saiz yang menghasilkan pic yang berbeza dan dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu.Gong biasanya diperbuat daripada campuran tembaga ataupun gangsa.

Sesetengah pasukan muzik gamelan hanya menggunakan 2 jenis gong sahaja iaitu gong ‘suwukan’ dan juga gong ‘ageng’ (juga dipanggil gong agung).Kedua-dua gong yang berbusut ini berukuran diantara 70-80 sentimeter pada garis pusat.(saiz gong ini agak kecil jika dibandingkan dengan gong ageng gamelan Jawa).Gong ini dipukul pada busut dengan pemukul yang berbalut yang diperbuat dari kayu yang dibaluti dengan kain ataupun getah.Biasanya gong berfungsi sebagai pemberi isyarat pada permulaan lagu dan juga pada akhir frasa sesebuah lagu.Gong ageng mempunyai pic yang paling rendah manakala gong suwukan mengeluarkan pic yang lebih tinggi sedikit daripada gong ageng.

Saron Pekin

Terdiri dari keluarga ‘idiofon’ dalam kelas kecil ‘metallofon’ kerana semua bilah atau wilahan(key) diperbuat daripada campuran tembaga.Bilah-bilah disusun diatas tapak kayu dan disokong oleh bahan pengalas sebagai memenuhi prinsip ekustiknya.Pada tapak berkenaan satu ruang udara telah dibuat bagi mengimbangi bunyinya dan sekaligus bertindak sebagai ruang gema bagi alat saron ini.

Mempunyai register bunyi yang tinggi jika dibandingkan dengan saron demung dan saron barung.Teknik ‘perdam’ juga digunakan dalam permainan alatan ini dan ianya mempunyai oktaf yang tertinggi serta mampu menghasilkan bunyi lantang dan nyaring.Dari segi fizikalnya,saron peking mempunyai bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal jika dibandingkan dengan bilah saron barung.Alat pemukul (penabuh) bagi saron peking juga berbentuk seperti penukul (hammer) yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

Gendang


Gendang dikelaskan sebagai alat ‘membranofon’ iaitu alatan muzik yang diperbuat daripada kulit (belulang).Gendang dimainkan secara tabuhan.Berbentuk tong panjang yang bercembung.Dua muka kulit yang berlainan saiz dipasang pada baluh dengan tali rotan yang ditegangkan pada kedua-dua muka kulit itu.

Kedua-dua muka kulit ini dipukul dengan tangan untuk menghasilkan timbre-timbre yang tertentu dan menarik.Gendang merupakan salah satu alat yang penting dan perlu dimainkan dalam setiap persembahan gamelan,tanpa pukulan gendang,persembahan gamelan tidak akan lengkap dan menarik malah akan menjadi pincang persembahan tersebut.Gendang dalam persembahan gamelan mempunyai fungsinya tersendiri yang sifatnya tiada pada alat-alat muzik lain.






Semoga seni yang penuh spiritual ini akan terus berkembang dan tidak akan pupus ditelan zaman dan akan kekal selama-lamanya.



Seni Budaya adalah lambang keagungan dan ketinggian ketamadunan sesuatu bangsa.




kami bersedia bila-bila masa untuk memenuhi jemputan persembahan

Berminat : Hubungi;

09 - 7418250 ( SMK Dato' Ahmad Maher )

019 - 9848156 ( En.Dasuki bin Hj.Ahmad )